Popular Posts

Saturday 19 March 2011

Botol susu bayi Polikarbonat bisphenol diharamkan

 Botol susu bayi Polikarbonat bisphenol diharamkan

PUTRAJAYA 14 Mac – Kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi “Bisphenol A” (BPA), berkuat kuasa 1 Mac 2012.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 2 Mac lepas sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan botol susu tersebut adalah selamat untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi terutamanya bayi dan kanak-kanak.

"Kementerian tidak akan berkompromi dalam keselamatan pengguna terutamanya bayi dan kanak-kanak. Polikarbonat adalah plastik yang digunakan dalam pembuatan botol susu bayi dan “bisphenol A” ialah bahan kimia industri yang ditambah dalam botol susu bayi polikarbonat untuk menjadikannya keras dan lutsinar,” katanya.

Kerajaan memberi tempoh satu tahun untuk memastikan tindakan pengharaman itu dilaksanakan dengan lancar secara berperingkat, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini hari ini.

"Pihak industri diberi tempoh masa satu tahun untuk membuat persediaan bagi keperluan pertukaran atau pembelian mesin dan penggunaan bahan mentah yang sesuai”.

Tindakan pengharaman itu diambil dengan mengambil kira BPA didapati boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekaligus mengganggu sistem fungsi tubuh, katanya dan menurutnya bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang penilaian dijalankan berhubung sistem hormon dalam tubuh bayi.

Tiong Lai berkata, pengharaman itu juga adalah selaras dengan tindakan beberapa negara yang telahpun mengharamkan penjualan susu botol tersebut antaranya Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan terbaru oleh Kesatuan Eropah.

Menurutnya, sehingga 2010 sebanyak 159 sampel botol susu bayi telah dianalisis dan didapati 85 peratus dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 mg/kg hasil migrasi daripada botol berkenaan.

Kajian Universiti Malaya juga menunjukkan kadar migrasi BPA meningkat sebanyak tujuh kali ganda pada suhu 80 celsius berbanding pada suhu bilik 25 celsius, katanya. - Bernama



Zaman sekarang, penggunaan plastik amat meluas digunakan oleh kebanyakan negara maju. Persoalannya adakah plastik selamat digunakan terutamanya pada bayi? Memandangkan terlalu banyak barangan bayi yang berplastik contohnya botol susu, barang mainan dan sebagainya, apakah tindakan ibu bapa terhadap masalah dan persoalan ini?

Kandungan kimia yang biasa terdapat di dalam plastik ialah Bisphenol A atau BPA dimana kebanyakan negara maju lain telah mula mengharamkan penggunaan BPA di dalam bekas simpanan makanan, botol minuman, botol susu bayi, barang mainan bayi dan sebagainya.

Apakah itu BPA?

BPA adalah singkatan daripada Bisphenol A diamana ia adalah satu bahan kimia dalam perindustrian plastik.


Bagaimana BPA digunakan?


Bisphenol A (BPA) adalah blok binaan kimia yang digunakan terutamanya bagi menjadikan polikarbonat plastik dan epoksi. Plastik polikarbonat adalah ringan, mempunyai keliatan yang tinggi, mempunyai rintangan haba yang tinggi, kejelasan optik dan ia mempunyai rintangan haba yang tinggi. Disebabkan sifat-sifat ini, maka polikarbonat dipergunakan secara meluas di dalam kebanyakan produk.

Apakah Kesan penggunaan BPA pada manusia?

Kajian terbaru mengenai BPA mengatakan bahawa BPA tidak selamat digunakan untuk bekas simpanan makanan atau minuman serta ianya tidak selamat untuk kegunaan kanak-kanak bawah 3 tahun.


Pelbagai pihak yang mengkomersialkan botol-botol bayi memutuskan untuk berhenti menggunakan Bisfenol A (BPA) dalam produk-produk mereka. NY COUNTY juga memutuskan untuk mengharamkan botol-botol bayi serta cawan untuk bayi yang dibuat dengan bisfenol A.

Kajian BPA terhadap binatang

Berikut adalah sedikit sebanyak kesan penggunaan BPA terhadap tikus-tikus yang diuji di makmal.

  1. Dos sebanyak 0.025 µg/kg/hari menyebabkan berlaku perubahan yang tetap untuk saluran genital (kajian 2005)
  2. Dos sebanyak 0.025 µg/kg/hari juga menyebabkan perubahan pada tisu payudara yang menyebabkan sel-sel untuk hormon-hormon dan karsinogen. (kajian 2005)
  3. Dos sebanyak 2 µg/kg/hari meningkatkan kadar kenser prostate sebanyak 30%. (kajian 1997)
  4. Dos sebanyak 2 µg/kg/hari juga menyebabkan pengurangan berat badan. (kajian 2002)
  5. Dos sebanyak 2.4 µg/kg/hari menyebabkan penurunan dalam testosteron. (kajian 2004)
  6. Dos sebanyak 2.5 µg/kg/hari boleh mendatangkan sel-sel kanser pada payudara. (kajian 2007)
  7. Dos sebanyak 10 µg/kg/hari menyebabkan sel-sel prostat lebih sensitif kepada hormon dan mendatangkan kanser. (kajian 2006)
  8. Dos sebanyak 10 µg/kg/hari

Cara mencegah BPA terus kepada bayi dan anda.

Caranya mudah. Elak menggunakan plastik yang mengandungi BPA. Carilah barangan plastik yang digunakan untuk menyimpan air, makanan, botol susu, mainan kanak-kanak terutama bayi yang tidak mengandungi BPA (BPA-free). Kebanyakan botol susu bayi sekarang sudah di labelkan BPA-free dan pastikan ianya bukan tiruan!

Walaupun harga agak mahal sedikit daripada plastik berBPA, tetapi bukankah mencegah adalah lebih baik daripada mengubati?

Thursday 17 March 2011

Kesihatan- Kesan Radiasi

Kesan Radiasi

Kemajuan teknologi moden yang berlaku hari demi hari telah mengubah gaya hidup manusia menjadi lebih mudah. Untuk ke sesuatu destinasi samada yang dekat mahupun yang jauh tidak lagi perlu menunggang unta atau berjalan berbulan-bulan lamanya untuk sampai. Dengan terciptanya enjin kenderaan, hanya beberapa jam sahaja masa yang diambil untuk sampai ke sesuatu destinasi yang dituju. Manusia masa kini boleh mengembara ke seluruh pelusuk dunia dengan hanya perlu menekan beberapa suis dengan kewujudan peralatan moden seperti televisyen (tv), komputer dan internet, radio dan sebagainya. Segala maklumat, rujukan, informasi dan sebagainya berada di depan mata tanpa perlu bersusah payah untuk ke sana ke mari. Begitu juga jalinan hubungan antara dua benua terjalin dengan kewujudan peralatan teknologi moden seperti telefon bimbit, internet dan sebagainya. Malah perlawanan bola sepak di Brazil boleh ditonton secara langsung oleh penduduk Malaysia dengan kewujudan satelit yang tidak terfikir oleh manusia terdahulu.

Namun disebalik kecanggihan dan kemudahan yang disumbangkan oleh teknologi moden hari ini kepada manusia, terdapat kesan negatifnya kepada kesihatan mental, fizikal juga emosi. Tanpa kita sedari sedikit demi sedikit kesihatan kita terjejas akibat terdedah secara berterusan kepada peralatan canggih seperti ini kesan daripada radiasi atau pancaran.

Kajian menunjukkan monitor komputer sebagai sumber radiasi elektrik dan magnetik (elektromagnetik) yang agak kuat. Pendedahan yang berterusan kepada pancaran ini boleh meningkatkan risiko keguguran, kecacatan bayi, beberapa jenis kanser, leukemia dan lain-lain penyakit. Walaupun bukti kukuh masih belum dijumpai, tetapi tetap dilihat ada kaitannya. Dari segi emosi, seseorang yang terdedah secara berterusan pada radiasi atau sinaran akan mengalami simtom-simtom ketidakstabilan emosi seperti panas baran (cepat marah), keliru, cemas, tidak tenteram dan sebagainya.

Kabel elektrik, transformer, peralatan elektrik, radar, television, enjin kenderaan, talipon bimbit dan semua peralatan yang menghasilkan medan elektromagnet yang dianggap bahaya kepada kesihatan mental, fizikal juga emosi.

Radiasi elektrik dan radiasi magnetik adalah berbeza, tetapi ia sering wujud secara bersama kerana semua alat yang menggunakan kuasa elektrik mengeluarkan radiasi elektromagnetik. Masalahnya material yang melindungi kita dari radiasi elektik tidak melindungi dari radiasi magnetik dan sebaliknya. Sangat sedikit produk yang melindungi kita bila terdedah secara terus kepada radiasi magnetik. Ini kerana radiasi magnetik dapat menembusi kayu, besi, batu dan tentu sekali tubuh manusia. Bagaimanapun kita bernasib baik kerana kedua-dua jenis radiasi ini menjadi semakin lemah semakin jauh ia dari puncanya.

Sel tubuh mempunyai tenaga elektrik halus yang dihasilkan melalui pergerakas elektron sel. Elektron sel menghasilkan sistem tenaga yang seimbang dan harmoni untuk membolehkan sel berhubung dengan sel-sel tubuh yang lain. Radiasi tenaga elektromagnetik asing yang berpunca dari talipon bimbit dan peralatan elektrik yang lain mengganggu dengan gelombang yang merosakkan sistem harmoni tubuh dan dalam jangka panjang merosakkan sistem komunikasi sel tubuh dan akhirnya menyebabkan penyakit.

Cinta-Hadiah 21-Tahun

Sejak semalam hati Masuriani berbunga mekar. Malah, dirinya bagaikan sudah tidak sabar-sabar lagi menanti detik hari esok. Hanya satu hari lagi dia akan menyambut ulang tahun ke-21. Bermakna, akan tibalah detik kunci kebebasan yang ditunggu-tunggu selama ini.Melayani hati yang riang, Masuriani menyanyi kecil sambil sibuk mengemaskan beberapa barang perlu dibawa. Antaranya sudah tentu minyak wangi haruman jenama terkenal dihadiahkan oleh buah hati.

Masih terngiang-ngiang di telinga Masuriani pesan buah hatinya, Amri supaya jangan lupa membawa dan menyemburkan haruman istimewa itu kala pertemuan yang sudah dirancangkan.Masuriani bangga, Amri kekasih pertama dicintai begitu memahami minatnya dalam mengumpul koleksi minyak wangi. Dua tahun perkenalan mereka, Amri tidak pernah lupa menitipkan hadiah minyak wangi kepada Maisuriani setiap kali menyambut hari ulang tahun.Hatinya melonjak riang, janji Amri untuk menghadiahkan koleksi jenama minyak wangi mahal tahun ini sempena ulang tahun ke-21, ternyata sudah dikotakan. Malah, hadiah istimewa itu diberikan lebih awal sebelum ketibaan meraikan ulang tahunnya.

Namun, dalam rasa gembira, Maisuriani turut disulami perasaan berdebar-debar kerana sekiranya pertemuan dirancang menjadi kenyataan, bererti itu adalah kali pertama mereka bertentang mata sebagai pasangan kekasih. Selama ini, perkenalan terjalin hanya menerusi telefon selepas usaha teman baik Maisuriani `menjodohkan’ mereka.Maisuriani cuba mencongak-congak wajah Amri yang sudah mula semakin dirinduinya. Menerusi corong telefon, suara Amri yang didengarnya agak garau. Namun dalam setiap perbualan mereka, Amri diduganya suka berjenaka dan riang orangnya. Setiap kali berbual Amri sentiasa menyelitkan unsur lucu yang menghibur hati Masuriani.Gadis sunti yang bakal mendapat kunci kebebasan tidak lama lagi itu turut membayangkan, Amri mempunyai paras rupa agak kacak dengan kulit sawo matang. Apatah lagi, Amri suka merendah diri dengan berkata, kulitnya tidak cerah dan dalam gelap mungkin sukar dilihat. Mengingatkan semula perbualan itu Masurianitersenyum-senyum sendirian.

Mengikut rancangan yang sudah diatur, Amri akan menaiki bas ekspres dari Kuantan, Pahang yang bertolak jam lapan pagi. Bermakna, jam 11 pagi mereka sudah boleh bertemu.Esok yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Dengan berpakaian baju rona merah jambu yang dipadankan celana putih dan siap bersolek cantik, Masuriani keluar dari rumahnya menuju tempat pertemuan.Bertentang mata pertama kali dengan Amri ternyata membahagiakan. Congakan Masuriani terhadap rupa paras Amri, banyak yang tepat. Pertemuan di restoran itu berlangsung lancar dan sesekali diselangi dengan gelak ketawa seolah-olah membayangkan betapa bahagianya pasangan sejoli itu.Usah menjamah hidangan, Amri mencadangkan supaya mereka ke tempat lain yang kononnya lebih privasi. Katanya, ada lagi hadiah istimewa untuk Masuriani yang ingin diberikan. Tanpa membantah, Masuriani mengikut saja cadangan itu, lebih-lebih lagi berasa semakin serasi berada di sisi jejaka yang berusia lebih tiga tahun dari usianya.Pasangan itu kemudian menuju ke sebuah hotel bajet di bandar itu. Mulanya, Masuriani berasa cuak juga untuk menjejakkan kaki ke hotel bajet itu kerana seumur hidupnya itulah pertama kali berkunjung ke situ walaupun sudah lama menetap di bandar itu.Amri berjaya meyakinkan Masuriani dengan janji bahawa tiada apa-apa akan berlaku antara mereka jika berada dalam bilik nanti. Maisuriani percaya, tidak mungkin Amri ingin melakukan sesuatu yang buruk terhadapnya kerana selama ini menerusi perbualan telefon, kekasihnya itu tidak lupa mengingatkan beberapa perkara mengenai dosa dan pahala.Selepas mendaftar, Amri dan Masuriani menuju ke bilik yang ditempah. Walaupun berstatus hotel bajet, di dalamnya bersih dan kemas rapi. Ini membuatkan Masuriani selesa dengan keadaan itu.Menenangkan perasaan, Masuriani duduk di hujung katil manakala Amri meminta diri untuk masuk ke bilik air bagi mencuci muka. Katanya, perjalanan lebih dua jam menyebabkan kulit wajahnya berasa agak kering. Sepuluh minit berlalu, Amri keluar dari bilik air dengan wajah yang lebih segar. Masuriani semakin senang menatap wajah kekasihnya itu.Mereka terus berbual mesra dan sesekali, Amri menjatuhkan badannya ke katil. Tiba-tiba kedengaran ketukan bertalu-talu. Masuriani terus dihambat rasa terkejut dan takut kerana dari dalam bilik itu mereka juga mendengar beberapa suara yang menggesa membuka pintu bilik hotel itu.Malang bagi Masuriani dan Amri pada hari itu kerana dicekup Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam kira-kira jam 12 tengah hari selepas kedua-dua mereka dikatakan berkurung di dalam bilik.Apabila pegawai terbabit membuat pemeriksaan lanjut, mereka didapati bukan muhrim. Masuriani cuba memberi alasan masuk ke bilik yang disewa Amri kerana mahu menemaninya tidur sementara menunggunya pulang ke Kuantan. Namun, alasan itu tidak diterima.Masuriani dan Amri didakwa di Mahkamah Syariah dengan tuduhan kerana bersekediaman dengan bukan muhrim. Sabit kesalahan mereka didenda RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya. Masuriani kesal, ulang tahun ke-21 yang disangkakan membawa kenangan indah kini terpalit kisah hitam.

Cinta- Salah Tempat

"TELEFON dan komputer alat penghubung dan lambang kemajuan. Namun alat itulah juga punca segala-galanya, menghubungkan dan memutuskan. Ada orang bercerai melalui telefon, ada yang berkenalan melalui Internet. Begitulah yang berlaku pada saya, bukan bercerai tetapi dapat kawan.

‘‘Mula-mula chatting, tak sangka pulak lama-kelamaan jadi seronok akhirnya jatuh cinta dengan lelaki bernama Sam yang mengaku bujang. Peristiwa ini berlaku kira kira lapan tahun lalu. Walaupun perkenalan di alam maya dan berjauhan, tapi kami serius dalam masa tak sampai setahun.’’ Demikian cerita Nooratila dalam emelnya.

‘‘Bila dah seronok chatting mulalah nak ajak jumpa, seorang di utara seorang di selatan. Tapi kata Sam itu semua bukan masalah, kita boleh naik kereta, bas ataupun keretapi untuk berjumpa. Zaman ini semua dah canggih yang jauh boleh didekatkan.

‘‘Dipendekkan cerita KL jadi destinasi lokasi pertemuan kami. Bila empat mata bertemu maka ikatan cinta kami menjadi semakin kuat. Ketika itu tidak ada siapa boleh memisahkan kami.

‘‘Bila dah berjumpa terasa macam serasi pulak, ketika inilah telefon menjadi alat pilihan pertama. Malangnya telefon juga jadi alat merosakkan hubungan kami.

‘‘Sangkakan cinta kami ibarat panas hingga ke petang, rupanya ribut taufan di tengah hari. Semuanya bermula bila gelora cinta memaksa saya menghubungi Sam. Nak jadi cerita panggilan saya hari itu dijawab oleh seorang wanita. Sepantas kilatsaya kenalkan diri sebagai teman sepejabat, apabila wanita itu bertanya.

‘‘Di talian saya terdengar tangisan anak-anak. Wanita itu menjawab suaminya masih mandi. Nak pitam saya cuba kawal perasaan marah, sebab dah kena tipu. Sam rupanya suami orang. Malam itu saya menangis kerana sedih ditipu.

‘‘Esoknya saya serang Sam di telefon, mengaku bujang konon rupanya dah beranak pinak. Sam ajak jumpa di KL nak terangkan semuanya. Nak pujuklah tu.Cinta punya pasal saya pergi jumpa dia di KL.

‘‘Saya pun tak tahu macam mana saya boleh terus percayakan Sam sedangkan saya tahu dia dah kahwin.

‘‘Satu hari entah macam mana saya terkantoi, isteri Sam dapat nombor telefon saya, apa lagi sebu perut saya kena sumpah seranah. Saya terpaksa diam, dah tahu salah sendiri layan suami orang. Tapi bukan salah saya seorang, Sam yang mengaku bujang, kalau dari awal saya tahu dah kahwin, tak ada pasal saya nak layan dia.

‘‘Tetapi kalau hati dah suka nak buat macam mana, sampai sekarang kami masih berhubungan, dah tak boleh berpisah lagi. Bayangkan kini dalam diam tak diam hubungan kami mencecah lapan tahun. Dulu duduk berjauhan kini dah dua tahun saya berpindah dekat dengan negeri Sam. Dan sudah pasti kami sering berjumpa.

‘‘Lepas kerja dia ikut saya balik kami makan malam bersama. Kecuali kalau ada hal. Hujung minggu Sam datang jumpa saya. Dia buat alasan ada kerja lebih masa, kerja luar daerah dan macam-macam asalkan dapat bersama saya.

‘‘Dek kerana dah frust isteri Sam pun layan komputer, dia cerita pasal suaminya curang. Dari situ saya dapat emelnya, kami berhubung, dia tak tahu saya, sebab saya menyamar. Melalui komputer saya dapat tahu dia bencikan suaminya, dia kutuk suaminya curang, dia dah bosan dan tak kisah kalau berpisah pun.

maki hamun

‘‘Sebenarnya hubungan saya dengan Sam dah erat, malah kami pernah pergi bercuti ke luar negara bersama selama dua minggu tanpa pengetahuan isterinya. Banyak gambar kami bersama, kalau isterinya tengok pasti dia minta cerai, tetapi saya masih sabar dan lihat apa tindakan dia dan Sam sendiri.

‘‘Sam tak tinggalkan saya sebab dia tahu siapa yang banyak bantu dia selama ini. Jadi biarlah dia buat keputusan. Siapa yang belikan laptop untuk anaknya masuk kolej, siapa bayar yuran kolej dan asrama anaknya. Dan siapa yang banyak bantu Sam yang sering kekurangan duit untuk menguruskan kehidupan keluarganya.

‘‘Isteri Sam tak pernah ambil tahu daripada siapa suaminya dapat duit untuk membiayai perbelanjaan anaknya melanjutkan pelajaraan. Dia tak pernah peduli dalam banyak hal urusan rumahtangga, sebab semua Sam uruskan. Tiap-tiap minggu saya dan Sam akan belikan barang keperluan dapur mengikut kehendak isterinya.

‘‘Kami pernah terlanjur, sebab itu susah nak berpisah, saya pernah ajak Sam kawin, tapi alasan dia takut tak boleh berlaku adil. Malangnya saya tak boleh berpisah dengan Sam. Dan saya tak nampak lelaki lain kecuali Sam.

Sam banyak habiskan masa dengan saya. Setiap hari dia balik ke rumahnya jam 10 malam. Kami makan tengah hari dan malam bersama. Jadi berapa jam sangat dia dengan isterinya di rumah selepas ditolak waktu bekerja?

‘‘Kalau difikirkan memang saya bodoh layan suami orang dan habiskan banyak wang tanggung anak bini orang, tapi saya tak ada teman lelaki lain. Tak tahu sampai bila saya mesti hidup begini, menagih cinta suami orang dan janji kahwin yang belum pasti.

‘‘Kadang tu bila tidur sendirian saya sering terfikir bila agaknya Sam mahu ambil saya sebagai isterinya yang sah. Kerana saya sudah menunggu terlalu lama, umur pun semakin meningkat, jadi sampai bila saya mesti bersabar?”

Demikian luahan hati Nooratila bercinta dengan suami orang.

~ Utusan

Anak- Jangan bezakan anak

Jangan bezakan anak

Saya setuju benar dengan paparan satu artikal ''sebab emak saya pun sama, tetapi bukanlah suruh kami bergaduh adik-beradik, sebaliknya suka membandingkan kemewahan dan kesusahan hidup kami.

''Anak yang lebih mewah menjadi kesayangan emak, menjadi sebutan, dan namanya dijaja satu kampung, sebab nak beritahu orang anaknya kaya dan hidup mewah.'' Demikian cerita Norhanis dalam emelnya.

''Tetapi anak-anak yang kurang mampu, yang hidup tak seberapa mulalah emak pinggirkan. Sebab emak suka anak-anaknya hidup mewah, ada kereta besar, rumah besar dan ada perabut serba mewah. Bila ada semua itu barulah emak puas hati, kerana pandai mendidik anak-anaknya berjaya dalam kehidupan.

''Saya lima beradik, seorang lelaki dan empat perempuan. Emak didik kami supaya rajin belajar maka ada antara kami yang berjaya dalam pelajaran. Ada yang tidak. Sesiapa yang pandai belajar pasti jadi anak kesayangan emak.

''Tapi emak lupa. Pandai belajar tak semestinya bila bekerja dapat pangkat tinggi dan bergaji lumayan, kerana ada kalanya orang yang tak pandai belajar lebih besar pendapatanhya. Bukankah rezeki ketentuan Allah juga. Tapi emak macam tak faham.

''Dulu masa sekolah saya dan adik menjadi anak kesayangan emak, sebab masuk sekolah asrama. Kami dapat masuk kolej. Nama kami emak jaja satu kampung. Bukan main kembang dan gah hati emak, kamilah anak harapan emak, konon bila kami dapat kerja pasti gaji kami besar.

''Nak jadikan cerita, dua orang kakak kami cuma lulus SPM, walaupun pandai, zaman kakak nak sambung belajar memang susah, peluang belajar tak banyak macam zaman kami, jadi kakak bekerja sebagai kerani.

''Emak langsung tak menaruh harapan pada kakak-kakak kami, maklum gaji kerani berapa sangat. Bila kahwin suami mereka pun kerani jugak. Abang pulak jadi tentera paling tinggi pangkatnya satu ketika itu cuma jadi sarjan. Jadi kami berdua sajalah jadi harapan emak. Ketika itu kami dipuji melangit kerana kami pandai sekolah. Kami pun macam tak sedar diri bila kena puji, buat kerja rumah memang tak tahu langsung.

Tawaran

''Bila kakak dan abang kahwin emak buat kenduri ala kadar saja. Alasan emak kena simpan duit untuk kami belajar nanti. Manalah tahu kami dapat tawaran sambung belajar luar negara! Harapan emak tinggi nama kami dicanang satu kampung.

''Tetapi emak lupa rezeki itu ketentuan Allah. Nak jadikan cerita walaupun lulus SPM tetapi kakak cari peluang sambung belajar. Dan lebih penting suami mereka menyokong hasrat isterinya sambung belajar dengan membantu mereka jaga anak-anak ketika kakak pergi belajar.

''Kak long bersemangat nak sambung belajar sebab suaminya dah dapat diploma. Kak ngah pulak suaminya dah berhenti kerja, buat bisnes dan berjaya pulak. Saya pulak ketika itu walaupun ada diploma susah pulak nak cari kerja sebab ekonomi meleset, begitu jugak dengan adik walaupun ada ijazah. Kerja masih belum ada dapat.

''Akhirnya saya terima tawaran kerajaan bekerja dengan gaji kecil. Terkial-kial jugaklah kami nak sambung hidup. Maklum kerja di bandar besar dengan gaji kecil mana nak cukup. Dua tahun lepas tu baru dapat kerja yang sesuai, tapi gaji masih kecil lagi, adik pun sama. Bila kami mengeluh dan mengadu pada emak tentang gaji kami, emak jadi lemah semangat. Anak-anak yang menjadi harapan mengeciwakannya.

''Ketika itu dua orang kakak dan abang mula hidup mewah, emak mula melihat perubahan hidup mereka, mula-mula emak lihat kereta mereka dah bertukar yang mahal, dah pindah rumah teres dua tingkat dari rumah flat, kak ngah dan suaminya pakai kereta mewah. Abang pun sama ketika itu dah ikut suami kak ngah buat bisnes.

''Setiap kali mereka balik kampung emak terbeliak mata. Ada ada saja perubahan diri mereka yang emak lihat. Tentang pakaiannya, kereta, barang kemas, beg tangan dan macam-macam lagi yang membanggakan emak. Berbanding kami berkereta kecil.

''Kerana emak jenis suka membangga diri, dia tetap puji anak-anaknya yang hidup mewah pada orang kampung, walaupun dulu emak tak pernah yakin kejayaan mereka dulu sebab tidak pandai sekolah dan tidak berkelulusan tinggi.

''Selepas ayah meninggal dunia, emak semakin rajin bertandang ke rumah anak-anak, lepas rumah kak long, rumah kak ngah dan abang. Ada-ada sajalah cerita emak bila balik kampung dan bila datang ke rumah kami.

''Bila orang kampung dah meluat dengar cerita emak yang membanggakan kemewahan anak-anaknya. Itu menurut cerita dari saudara mara kami di kampung kepada saya, kemudian emak tukar taktik lain. Kali ini saya dan adik jadi target tempat emak bercerita memuji kakak hingga menyakitkan hati kami mendengarnya.

''Emak mula tanya berapa gaji saya dan suami saya. Kenapa saya tak beli sofa mewah macam kak long, rumah besar macam kak ngah atau beli kereta mewah macam suami kak ngah. Kenapa suami saya tak buat bisnes nanti boleh jadi kaya.

''Saya kata pada emak setiap orang ada rezeki yang diberikan Allah, walaupun mereka tak masuk kolej atau universiti dulu, tapi rezeki mereka ada di tempat lain yang lebih baik.

''Bila saya terangkan pada emak, dia mengaku faham, tetapi dia faham untuk sebulan dua aja, lepas tu dia buat peel balik.

''Walaupun perbuatan emak bukan bertujuan melaga-lagakan kami, tetapi secara tidak langsung telah membuat kami rasa rendah diri kerana tidak berkemampuan, berbanding kakak-kakak dan abang kami yang lebih senang dan mewah hidupnya. Sikap emak juga membuat kami rasa kecil hati.

''Tujuan saya bercerita di ruangan ini bukan mahu mengaibkan emak, tetapi saya mahu mengingatkan diri saya dan pembaca semua janganlah jadi macam emak saya suka membeza-bezakan kemampuan anak-anak sama ada anak yang pandai ataupun tidak, apa lagi kalau ada antara anak-anak yang kurang berkemampuan.

~ Utusan

Perkahwinan- Kawen Muda Bahagia atau sebaliknya

 Kawen Muda, Bahagia atau Sebaliknya!!!

“Oh! mama, aku mau kahwin, kahwin dengan siapa, dengan siapa saja. Oh! Mama, aku mau kahwin, dengan gadis Kota Bahru muka cantik mata kuyu,”. Itulah sebahagian lirik lagu Oh mama, aku mau kahwin, nyanyian Allahyarham Dato’ Ahmad Daud yang menjadi siulan anak remaja pada hujung tahun 60-an.  

Perkahwinan adalah lumrah hidup setiap manusia yang telah ditetapkan sejak azali lagi. Allah telah menjadikan makhluknya untuk hidup berpasangan-pasangan seperti firman Allah yang bermaksud, “Tiap-tiap sesuatu Kami jadikan berpasang-pasangan (jantan betina), mudah-mudahan kamu menerima peringatan.” (Surah Az-Zariyaat: Ayat 49).

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Rum: Ayat 12).

Namun, persoalannya adakah berkahwin dalam peringkat usia yang masih muda atau ibarat “baru setahun jagung” akan mendapat kebahagian yang abadi? Atau perkahwinan yang dibina hanya setakat dapat bertahan dalam lingkungan dua tiga tahun sahaja?

Tidak salah untuk berkahwin muda, jika keputusan itu diambil untuk mengelakkan diri dari melakukan maksiat. Tetapi, ia juga bergantung kepada keupayaan pasangan tersebut berfikir secara rasional dan matang, dalam mengharungi pelbagai dugaan apabila berada di alam perkahwinan.

Sebagaimana lirik lagu nyanyian seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang berbunyi “sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, apa guna kita bertengkar, suami isteri harus bersabar, buang yang keruh ambil yang jernih, baru teguh peribadi, suami isteri harus berpakat, rumah tangga mendapat berkat, kasih sayang rukun dan damai, hidup seperti dalam mahligai”.

Lirik lagu yang terkenal pada zaman 50-an ini, membawa maksud yang sangat mendalam bagi menempuh liku-liku kehidupan sebagai suami isteri. Perkahwinan tidak mengenal erti penat dan lelah, jika perkahwinan sekadar memenuhi tuntunan nafsu syahwat sahaja, dua tiga tahun selepas itu ia akan berakhir dengan perceraian yang ternyata membawa kerugian kepada kedua belah pihak.

Ibu bapa seharusnya mengambil berat dan memandang serius mengenai perkara ini kerana ia melibatkan masa depan anak-anak mereka sebelum mereka mendirikan rumah tangga. Peranan yang sangat besar akan ditanggung oleh individu-individu yang bergelar suami isteri. Ini kerana di usia muda, mereka mengganggap perkahwinan adalah untuk suka-suka. Ia boleh mendatangkan kesan yang buruk apabila pasangan yang berkahwin ini akan mendapat cahaya mata.

Menurut Kaunselor Universiti Utara Malaysia, Faezah Nayan, ketahanan sistem pasangan kahwin muda mungkin mengikut peredaran zaman, jika dilihat pada zaman sekarang terdapat banyak pengaruh yang kadang-kadang menjadikan perkahwinan sebagai penyelamat. “Pendidikan dan ilmu agama yang cukup boleh meningkatkan mutu sistem perkahwinan itu sendiri, walaupun pasangan tersebut berkahwin muda. Apabila mempunyai pendidikan, akan ada rasa tanggungjawab terhadap pasangan dan keluarga yang bakal dibina kelak,” katanya ketika ditemuramah di pejabatnya baru-baru ini.

Pembangunan dalam perkahwinan itu sendiri bergantung kepada banyak faktor penting, antaranya ialah tahap ekonomi yang baik, agama yang kukuh dan berfikiran matang. Bagi pasangan yang bakal melayari bahtera perkahwinan, persediaan bagi meningkatkan faktor di atas, sedikit sebanyak dapat meningkatkan mutu perkahwinan.
Tidak salah untuk pasangan muda itu mendirikan rumah tangga bagi mencari kebahagiaan awal dalam kehidupan mereka. Perkahwinan di usia muda juga boleh menjauhkan diri pasangan tersebut dari melakukan perkara yang menyalahi hukum agama.Namun mereka perlu beringat bahawa perkahwinan adalah perkara yang serius dan ia perlulah kekal hingga ke akhir hayat. Kebahagian pasangan muda terletak di bahu pasangan itu sendiri dalam menghadapi dunia kekeluargaan dan tidak salah jika perkahwinan itu adalah disebabkan oleh persetujuan pasangan itu sendiri serta mendapat restu kedua ibu bapa mereka.

Kesihatan wanita-Bersalin tambah risiko rahim jatuh

Bersalin tambah risiko rahim jatuh

UTERUS atau dalam bahasa harian lebih senang disebut rahim, mungkin boleh dilambangkan sebagai kasih sayang bagi seorang wanita.Di dalam organ inilah, 'benih' cinta antara dua individu bersatu, membesar selama 40 minggu dan apabila sampai masanya, menyingkap dunia melalui frasa yang cukup istimewa.Sebagai organ yang mempunyai fungsi ajaib melahirkan cahayamata, pastinya tugas berat tersebut sedikit sebanyak membebankan dan boleh mendatangkan masalah di kemudian hari.Rahim jatuh atau uterovaginal prolapse adalah satu daripadanya. Ia berlaku apabila rahim turun atau jatuh daripada kedudukan anatomi asalnya di aras tonjolan tulang iskium (ischial spine)."Punca utamanya ialah kelemahan otot-otot dan ligamen-ligamen sokongan rahim serta lantai pelvis yang disebabkan oleh beberapa perkara," kata Dr. Ixora.Menurut beliau, otot-otot lantai pelvis atau saraf pudendal iaitu saraf yang menjadi penyambung di bahagian tersebut boleh tercedera ketika proses kelahiran. Tambahan lagi kepada wanita yang melalui proses kelahiran lebih daripada empat kali, mereka sangat terdedah kepada risiko mengalami rahim jatuh.Faktor lain seperti kekurangan tisu kolagen sama ada sejak lahir atau disebabkan oleh menopaus dan masalah keabnormalan tulang belakang seperti 'spina bifida' juga mengundang masalah ini.Dianggarkan sekitar 30 peratus wanita berusia mengalami masalah rahim jatuh tetapi peratusan sebenarnya tidak diketahui dengan tepat kerana ramai yang malu untuk berjumpa doktor.Walaubagaimanapun kata beliau, terdapat juga wanita muda yang mengalami masalah ini tetapi ia jarang berlaku. Jika berlaku sekali pun mungkin berpunca daripada masalah saraf pudendal yang wujud secara semula jadi sejak lahir atau akibat kecederaan saraf tunjang atau penyakit saraf seperti gullain-barre dan poliomyelitis."Individu yang mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, sembelit dan batuk yang berpanjangan serta selalu mengangkat beban berlebihan atau berpanjangan untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan otot lantai pelvis lemah," kata beliau.Jelas Dr. Ixora, biasanya masalah rahim jatuh akan diiringi masalah organ-organ pelvis lain seperti pundi kencing, faraj, uretra (salur kencing), rektum (usus besar) dan usus kecil yang dipanggil pelvic organ prolapse (POP).Antaranya masalah cystocoele ( pundi kencing jatuh / bonjolan pundi kencing ke dalam faraj) dan rectocoele (usus besar rektum jatuh / bonjolan rektum ke dalam faraj).Selain daripada itu ia juga diiringi oleh masalah kencing seperti stres inkontinens (kebocoran akibat batuk, bersin atau ketawa dan masalah pundi kencing terlalu aktif.

Kategori rahim jatuh:

l Peringkat pertama : serviks turun dari kedudukan normalnya sehingga bukaan faraj tetapi rahim masih di dalam faraj

l Peringkat kedua : serviks dan sebahagian rahim turun dari kedudukan normalnya sehingga melepasi bukaan faraj tetapi fundus rahim masih di dalam faraj

l Peringkat ketiga (procidentia) : serviks dan keseluruhan rahim termasuk fundusnya dan dinding faraj turun melepasi bukaan faraj.

Simptom-simptomnya:

l Terasa sesuatu terkeluar di bahagian faraj

l Ketulan pada faraj

l Sakit pelvis / ari-ari (dragging pelvic pain)

l Sakit belakang

l Sakit semasa hubungan seks

l Pendarahan faraj selepas menopaus

l Inkontinens kencing

l Sukar buang air kecil / besar