Popular Posts

Thursday 17 March 2011

Perkahwinan- Kawen Muda Bahagia atau sebaliknya

 Kawen Muda, Bahagia atau Sebaliknya!!!

“Oh! mama, aku mau kahwin, kahwin dengan siapa, dengan siapa saja. Oh! Mama, aku mau kahwin, dengan gadis Kota Bahru muka cantik mata kuyu,”. Itulah sebahagian lirik lagu Oh mama, aku mau kahwin, nyanyian Allahyarham Dato’ Ahmad Daud yang menjadi siulan anak remaja pada hujung tahun 60-an.  

Perkahwinan adalah lumrah hidup setiap manusia yang telah ditetapkan sejak azali lagi. Allah telah menjadikan makhluknya untuk hidup berpasangan-pasangan seperti firman Allah yang bermaksud, “Tiap-tiap sesuatu Kami jadikan berpasang-pasangan (jantan betina), mudah-mudahan kamu menerima peringatan.” (Surah Az-Zariyaat: Ayat 49).

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Rum: Ayat 12).

Namun, persoalannya adakah berkahwin dalam peringkat usia yang masih muda atau ibarat “baru setahun jagung” akan mendapat kebahagian yang abadi? Atau perkahwinan yang dibina hanya setakat dapat bertahan dalam lingkungan dua tiga tahun sahaja?

Tidak salah untuk berkahwin muda, jika keputusan itu diambil untuk mengelakkan diri dari melakukan maksiat. Tetapi, ia juga bergantung kepada keupayaan pasangan tersebut berfikir secara rasional dan matang, dalam mengharungi pelbagai dugaan apabila berada di alam perkahwinan.

Sebagaimana lirik lagu nyanyian seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang berbunyi “sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, apa guna kita bertengkar, suami isteri harus bersabar, buang yang keruh ambil yang jernih, baru teguh peribadi, suami isteri harus berpakat, rumah tangga mendapat berkat, kasih sayang rukun dan damai, hidup seperti dalam mahligai”.

Lirik lagu yang terkenal pada zaman 50-an ini, membawa maksud yang sangat mendalam bagi menempuh liku-liku kehidupan sebagai suami isteri. Perkahwinan tidak mengenal erti penat dan lelah, jika perkahwinan sekadar memenuhi tuntunan nafsu syahwat sahaja, dua tiga tahun selepas itu ia akan berakhir dengan perceraian yang ternyata membawa kerugian kepada kedua belah pihak.

Ibu bapa seharusnya mengambil berat dan memandang serius mengenai perkara ini kerana ia melibatkan masa depan anak-anak mereka sebelum mereka mendirikan rumah tangga. Peranan yang sangat besar akan ditanggung oleh individu-individu yang bergelar suami isteri. Ini kerana di usia muda, mereka mengganggap perkahwinan adalah untuk suka-suka. Ia boleh mendatangkan kesan yang buruk apabila pasangan yang berkahwin ini akan mendapat cahaya mata.

Menurut Kaunselor Universiti Utara Malaysia, Faezah Nayan, ketahanan sistem pasangan kahwin muda mungkin mengikut peredaran zaman, jika dilihat pada zaman sekarang terdapat banyak pengaruh yang kadang-kadang menjadikan perkahwinan sebagai penyelamat. “Pendidikan dan ilmu agama yang cukup boleh meningkatkan mutu sistem perkahwinan itu sendiri, walaupun pasangan tersebut berkahwin muda. Apabila mempunyai pendidikan, akan ada rasa tanggungjawab terhadap pasangan dan keluarga yang bakal dibina kelak,” katanya ketika ditemuramah di pejabatnya baru-baru ini.

Pembangunan dalam perkahwinan itu sendiri bergantung kepada banyak faktor penting, antaranya ialah tahap ekonomi yang baik, agama yang kukuh dan berfikiran matang. Bagi pasangan yang bakal melayari bahtera perkahwinan, persediaan bagi meningkatkan faktor di atas, sedikit sebanyak dapat meningkatkan mutu perkahwinan.
Tidak salah untuk pasangan muda itu mendirikan rumah tangga bagi mencari kebahagiaan awal dalam kehidupan mereka. Perkahwinan di usia muda juga boleh menjauhkan diri pasangan tersebut dari melakukan perkara yang menyalahi hukum agama.Namun mereka perlu beringat bahawa perkahwinan adalah perkara yang serius dan ia perlulah kekal hingga ke akhir hayat. Kebahagian pasangan muda terletak di bahu pasangan itu sendiri dalam menghadapi dunia kekeluargaan dan tidak salah jika perkahwinan itu adalah disebabkan oleh persetujuan pasangan itu sendiri serta mendapat restu kedua ibu bapa mereka.

No comments:

Post a Comment